Ulasan Buku: Forensik Kewangan - Bagaimana Langsai Hutang Dan Kumpul Harta Dengan Pantas? | PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
» ARTIKEL » Ulasan Buku: Forensik Kewangan - Bagaimana langsai hutang dan kumpul harta dengan pantas?

Ulasan Buku: Forensik Kewangan - Bagaimana langsai hutang dan kumpul harta dengan pantas?

Oleh: Mohd Dasuki Bin Sahak

MAKLUMAT BUKU
Judul Buku    : Forensik Kewangan: Bagaimana langsai hutang dan kumpul harta dengan pantas?
Pengarang    : Zaidi Ismail
Tahun terbit  : 2019
Penerbit        : Galeri Ilmu Sdn.Bhd.
ISBN            : 978-983-097-798-0
Bil. Ms          : 203
Bahasa         : Bahasa Malaysia
Kategori       : kewangan - individu

 

ULASAN BUKU:
Bilangan perkataan: 693 patah perkataan

Pendahuluan
Buku ini ditulis oleh Tuan Zaidi Ismail, seorang usahawan, pelabur dan pengasas UrusInsan, sebuah komuniti dalam talian berkaitan celik kewangan. Berdasarkan maklumat pencapaian beliau dalam menguruskan pelaburan, sememangnya beliau berkelayakkan untuk menulis buku seumpama ini yang bertajuk “Forensik Kewangan: bagaimana langsai hutang dan kumpul harta dengan pantas?”. Secara khususnya, menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, perkataan “forensik” biasanya digunakan dalam bidang perubatan bagi menentukan punca sesuatu kematian. Oleh itu, gabungan kedua-dua perkataan ini sebagai tajuk buku memudahkan pembaca mengetahui tentang topik buku ini.

Isi kandungan
Kandungan buku ini terbahagi kepada 10 bahagian utama. Di bahagian pengenalan, penulis memberi motivasi kepada pembaca tentang cara dan gaya hidup adalah pilihan kita sendiri tanpa perlu mengikut norma masyarakat umum.
Penulis memulakan bab satu buku ini mengenai persediaan mengurus kewangan. Antara yang menarik perhatian ialah asas kebebasan kewangan dan tip orang yang berjaya. Penulis menyatakan kekuatan, kelemahan dan tahap emosi seseorang merupakan faktor yang mempengaruhi pengurusan kewangan seseorang.


Seterusnya, penulis menerangkan tentang asas-asas kewangan dalam bab dua. Penulis menyatakan bahawa matlamat asas kewangan seseorang adalah merealisasikan impian menjadi realiti melalui pelan tindakan kewangan yang jelas dan berkesan. Terdapat tiga matlamat asas kewangan dalam kehidupan iaitu keperluan hidup, persaraan dan harta untuk diwariskan.


Bab tiga, penulis menerangkan tentang kebebasan kewangan yang merangkumi definisi kebebasan kewangan, pilihan masa hadapan, jangan bertanguh dan tip ketika sengkek. Bagi penulis, kebebasan kewangan adalah ditafsirkan di mana seseorang bebas hutang dan boleh berbelanja ikut kemampuannya dan mempunyai pendapatan berterusan yang melebihi perbelajaannya.


Penulis seterusnya memberi panduan kepada pembaca mengenai teknik menguruskan pinjaman/hutang dalam bab empat. Penulis menekankan bahawa pinjaman/ hutang mampu dilangsaikan segera sekiranya peminjam mempunyai ilmu dalam menangganinya seperti menggunakan alat kewangan iaitu pinjaman peribadi untuk menyelesaikan kesemua hutang. Walau bagaimanapun, keberkesanan alat ini tetap bergantung sepenuhnya dengan ilmu pengetahuan agar aliran tunai positif mampu dinikmati oleh peminjam.


Dalam bab kelima, penulis menerangkan topik mengenai pengurusan kewangan peribadi. Penulis memberi tip agar menguruskan kewangan tanpa melibatkan emosi. Penulis menyarankan pembaca agar tidak terkesan dengan orang-orang di sekeliling kerana yang menanggung beban kewangan adalah diri sendiri. Contoh persoalan yang sering kita hadapi dalam kehidupan seharian seperti “Apa orang kata nanti?” dan “Nanti anak-anak bising?”.


Penulis juga tidak ketinggalan memberi tip khusus bagi orang bujang dalam bab enam. Secara keseluruhannya, penulis menyarankan orang bujang untuk mengumpul seberapa banyak wang dan tidak membazir dalam usia ini. Ini kerana, orang bujang masih kurang tanggungjawab kewangan dan berpeluang luas membangunkan kerjaya.


Seterusnya, penulis berkongsi tentang pelaburan hartanah dan perniagaan dalam bab tujuh. Istimewa dalam bab ini, penulis turut menceritakan pengalaman beliau dalam pelaburan hartanah dengan ilmu yang sedikit sehingga mengakibatkan kerugian dan kejayaan beliau bangkit selepas peristiwa.


Dalam bab lapan, penulis menerangkan tentang ilmu “Law of Attraction” dalam mendalami ilmu kewangan. Mengikut “Law of Attraction”, persekitaran di sekeliling memainkan peranan penting dalam mempengaruhi seseorang dalam merealisasikan matlamat kewangan. Kejayaan seseorang bergantung sepenuhnya dengan kekuatan minda untuk berfikir sentiasa berjaya.
Selain mengenai tip dan kisah kejayaan, penulis juga menerangkan tentang topik gagal untuk berjaya dalam bab sembilan. Dalam bab ini, penulis menekankan tentang amalan pembaziran dari sudut kaca mata penulis terhadap amalan yang menjadi kebiasaan dalam masyarakat terutama semasa musim perayaan.


Akhir sekali dalam bab buku ini, penulis membincangkan tentang kaedah menganalisa kewangan peribadi melalui bab 10 yang bertajuk “mengodam kewangan peribadi”. Bagi memudahkan pembaca memahami kaedah menganalisa kewangan peribadi, penulis menerangkannya melalui kajian kes dan jadual cara melangsaikan hutang.

Kesimpulan
Tinjauan di Laman web Goodread, sebuah portal pencinta buku dari seluruh dunia mendapati ramai pembaca berpuas hati dengan buku ini. Walau bagaimanapun, terdapat kekurangan dalam buku ini yang boleh diperbaiki seperti tiada senarai rujukan disediakan. Ini kerana, terdapat teori dan keratan akhbar yang dirujuk oleh penulis tanpa sebarang sitasi. Selain itu, terdapat gambar dan jadual disalin secara “print screen” telah mencacatkan buku ini. Akhir sekali, saya sebagai pembaca buku ini sangat mencadangkan buku ini dibaca oleh semua orang, terutama kepada pekerja di sektor awam yang dikategori sebagai “pekerja makan gaji”. Seperti sedia maklum, prestasi pekerja juga dipengaruhi dengan faktor peribadi termasuk pengurusan kewangan pekerja, selain daripada faktor persekitaran di tempat kerja. Oleh itu, ilmu pengetahuan dan pengalaman pengurusan kewangan yang amat diperlukan agar pekerja dapat menumpukan sepenuh perhatian di tempat kerja tanpa gangguan beban kewangan.

Tarikh Input: 25/01/2022 | Kemaskini: 12/10/2022 | khairul_zul

PERKONGSIAN MEDIA

PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8642
03-9769 4747
SXEZSAQ~