Oleh : Norfaezah Khomsan dan Nazibah Kamaruddin
Port Dickson, 6 & 7 Ogos - Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS) telah menganjurkan Kursus Pemantapan Organisasi PSAS 2022 bertempat di D'Wharf Hotel & Serviced Residence, Port Dickson. Kursus ini telah disertai oleh 86 staf PSAS yang terdiri daripada pegawai pengurusan dan profesional serta pegawai pelaksana.
Peserta Kursus Pemantapan Organisasi PSAS 2022
Tujuan kursus ini diadakan ialah untuk menerapkan kefahaman dalam kalangan pegawai mengenai kepentingan kerja berpasukan, melatih komunikasi berkesan dalam kalangan pegawai yang berbeza pelbagai latar belakang, dan meningkatkan motivasi bekerja dalam kalangan pegawai.
Aktiviti membentuk kepimpinan dan kerja berpasukan berkesan
Slot Kemahiran Kepimpinan dan Interaksi Interpersonal yang telah dikendalikan oleh Encik Syed Faizal Sitheek Rahman dari Cute Carry Sdn Bhd. Penceramah telah menekankan secara praktikal dan santai teknik bagi membentuk ciri-ciri kepimpinan dalam diri setiap peserta. Beliau juga telah memberi penekanan dari aspek kepimpinan dengan berorientasikan dunia sebenar. Aktiviti diteruskan dengan sesi outdoor yang memerlukan kecerdasan IQ dan kerja berpasukan yang berkesan.
Sesi makan malam dan aktiviti cabutan bertuah
Aktiviti diteruskan dengan sesi makan malam berkonsepkan “Aloha” telah berlangsung dengan meriah dengan pelbagai cabutan bertuah dan sesi pertukaran hadiah antara staf. Melalui sesi malam ini ukhuwah dan silaturahim antara staf dan ahli keluarga dapat dieeratkan.
Taklimat STAR Library oleh Ketua Pustakawan
Kursus diteruskan pada hari terakhir dengan sesi senamrobik di sebelah pagi dan diikuti Taklimat dari Ketua Pustakawan berkaitan Smart, Technologically Advanced and Relevant (STAR) Library. Melalui ucapan Ketua Pustakawan, Encik Muzaffar Shah Kassim, beliau menyeru warga PSAS agar cakna dan sentiasa bersedia bagi menyahut kepantasan perubahan teknologi dan memastikan perkhidmatan perpustakaan bergerak selari dengan keperluan pengguna.
Secara ringkasnya, program selama 2 hari 1 malam di D'Wharf Hotel & Serviced Residence, Port Dickson ini, telah berjaya mencapai objektif yang disasarkan dengan kerjasama dan komitmen tinggi yang telah oleh staf PSAS. Semoga dengan motivasi dan kesepaduan ini akan dapat membawa PSAS terus cemerlang dalam memberikan perkhidmatan berkualiti kepada warga UPM khususnya.
Tarikh Input: 05/09/2022 | Kemaskini: 07/09/2022 | khairul_zul
Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang, Selangor Darul Ehsan.