| PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD

Majlis Amanat Ketua Pustakawan 2021 dan Pelancaran EKSA PSAS

Oleh: Norfaezah Khomsan, Azwana Ab Rahman dan Azizah Zainal Abidin

Serdang, Mac 12 - Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS) telah mengadakan Majlis Amanat Ketua Pustakawan 2021 dan Pelancaran EKSA PSAS dengan tema “Melestari Perkhidmatan Perpustakaan Dalam Norma Baharu”. 

Ketua Pustakawan, Encik Muzaffar Shah Kasim dalam ucapan beliau telah membentangkan pencapaian bagi tahun 2020 termasuk pencapaian bagi petunjuk prestasi utama, piagam pelanggan, penjanaan pendapatan PTJ serta inisiatif penyampaian maklumat kepada pengguna semasa Perintah Kawalan Pergerakan. Beliau turut memaklumkan bahawa dalam usaha menyediakan persekitaran kondusif kepada pengguna “Projek Naiktaraf Ruang Bacaan Blok B” akan diteruskan. Kontrak menyiapkan projek ini telahpun ditawarkan kepada kontraktor terpilih dan dijangka siap pada bulan Julai 2021.

Manakala salah satu senario baharu yang diperkenalkan dalam bidang kepustakawanan ialah Konsortium Sumber Elektronik Pendidikan Tinggi (KONSEPt), iaitu inisiatif kolaborasi di antara Bahagian Sitasi dan Infometrik (BSI) dan Jawatankuasa Ketua Pustakawan Universiti Awam (JKPUA). Ia merupakan platform perkongsian sumber maklumat ilmiah dalam ekosistem pengajian tinggi. Ia dijangka akan dapat menyelesaikan masalah peningkatan kos langganan sumber elektronik di kalangan perpustakaan Universiti Awam. 

Selaras dengan Sambutan Perayaan Jubli Emas UPM sempena 50 Tahun Penubuhan Universiti Putra Malaysia, PSAS telah merancang untuk mewujudkan galeri dan pameran bertemakan sejarah dan pencapaian UPM. PSAS turut dilihat berpotensi sebagai pusat bagi pengumpulan bahan sejarah lisan UPM. Di akhir ucapannya, beliau menzahirkan ucapan tahniah dan selamat maju jaya kepada semua warga PSAS untuk terus mendokong aspirasi universiti walaupun menghadapi pelbagai kekangan akibat pandemik Covid-19.

Majlis yang telah dihadiri seramai 125 orang peserta secara dalam talian ini juga turut diserikan dengan sesi pelancaran Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) peringkat PSAS yang telah dirasmikan oleh Encik Muzaffar Shah Kasim. Beliau mengharapkan agar amalan EKSA dapat digerakkan dengan cemerlang dan terlihat di peringkat universiti. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana EKSA PSAS, Puan Morni Yati Ibrahim di dalam ucapannya juga berharap agar amalan EKSA dapat membantu mengurus persekitaran kerja yang kondusif (bersih, kemas dan selamat) disamping meningkatkan kreativiti dan produktiviti warga PSAS. EKSA juga secara tidak langsung diharap dapat meningkatkan penyampaian perkhidmatan berkesan kepada pengguna perpustakaan dengan penghayatan warga PSAS terhadap amalan EKSA bukan sahaja terhadap elemen kebersihan dan kekemasan malahan merangkumi aspek kualiti, inovasi, penjimatan, keselamatan dan produktiviti. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Mencipta Logo EKSA PSAS iaitu Puan Siti Khairiah Yusof dan penyampaian poster kepada ketua-ketua zon PSAS sebagai simbolik kepada pelancaran EKSA di PSAS.

Encik Muzaffar Shah Kasim, Ketua Pustakawan PSAS menyampaikan amanat tahun 2021. 

 

 

Simbolik perasmian pelancaran EKSA PSAS bersama pengerusi JK Pelaksana EKSA, Puan Morni Yati Ibrahim.

 

 

 

Penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Mencipta Logo EKSA PSAS, Puan Siti Khairiah Yusof.

 

 

 

Gambar berkumpulan peserta yang hadir secara dalam talian

 

SXERFAc~