| PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD

Pameran Lukisan Batik Canting 2 Generasi di Anjung Ilmu, Perpustakaan Sultan Abdul Samad

Oleh Mohd Dasuki Bin Sahak, Muhammad Izhar Bin Ruslan, Nazibah Binti Kamaruddin

 

SERDANG, JUN 22: Pameran Lukisan Batik Canting 2 Generasi merupakan program anjuran Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) dengan kerjasama Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), Pusat Perhubungan Alumni (PPA) dan Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM.

 

Pameran berkenaan diadakan di Anjung Ilmu, Blok B PSAS dan telah dirasmikan oleh Pendaftar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Encik Muhazam Bin Mansor pada 9hb Jun 2022 yang lalu. 

 

Ucapan perasmian oleh Pendaftar Universiti Putra Malaysia (UPM) Encik Muhazam Bin Mansor

 

Dalam ucapan perasmian, Muhazam berkata, program pameran batik canting ini mampu menyampaikan ilmu mengenai batik canting kepada masyarakat dalam dan luar UPM disamping memperkenalkan seni kraf serta budaya warisan Malaysia kepada pelajar antarabangsa UPM.

 

Ucapan oleh pencanting batik UPM iaitu Encik Mohd Isnain Ali dengan diiringi oleh Puan Galinda Kamaruzaman dan Encik Muhd Alif Akram

 

Pameran ini mempamerkan hasil karya daripada tiga orang pencanting batik UPM iaitu Encik Mohd Isnain Ali, Puan Galinda Kamaruzaman dan Encik Muhd Alif Akram. Mohd Isnain Ali berkata, pameran lukisan batik canting ini adalah kesinambungan pameran terdahulu iaitu 2 Jiwa 1 Rasa Siri 1 dan 2 yang pernah diadakan di PSAS pada tahun 1996.

 

Tetamu di Majlis Perasmian, dari kiri Pencanting Batik UPM, Encik Mohd Isnain Ali; Pendaftar UPM, Encik Muhazam Bin Mansor; Pengarah, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Prof. Madya TS Dr. Nur Izura Udzir dan Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, Cik Haslina Abu Seman.

 

Sebanyak 30 lukisan batik canting dipamerkan di ruang bacaan Anjung Ilmu untuk dihayati oleh warga UPM, dan turut dibuka kepada orang awam. Selain dipamerkan, lukisan batik ini dibuka untuk jualan kepada sesiapa yang berminat. Hasil jualan akan disalurkan kepada pihak PPA bagi tujuan untuk pembiayaan biasiswa kepada pelajar asnaf UPM.

 

     

Naib Canselor UPM, Prof. Dato' Dr. Mohd. Roslan Sulaiman dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Arifin Bin Abdu turut meluangkan masa melawat tapak pameran.

 

Orang ramai boleh mengunjungi pameran lukisan batik canting mengikut waktu operasi PSAS dan pameran ini akan berlangsung sehingga 9hb Julai 2022.

 

Para tetamu berpeluang melawat tapak pameran

SXDdCAo~