Pengenalan
Pada tahun 1971 Kolej Pertanian Malaya dan Fakulti Pertanian, Universiti Malaya telah digabungkan menjadi
sebuah Universiti, Universiti Pertanian Malaysia. Justeru itu Perpustakaan
Kolej Pertanian Malaya dijadikan Perpustakaan Universiti Pertanian Malaysia. Apabila Universiti Pertanian Malaysia menukar nama kepada Universiti Putra Malaysia dalam tahun 1997, secara automatis Perpustakaan menjadi Perpustakaan Universiti Putra Malaysia. Pada 23 Mei 2002, Perpustakaan dinamakan Perpustakaan Sultan Abdul Samad sempena nama moyang kepada DYMM Sultan Selangor yang baru, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.
Perpustakaan UPM bermula di Blok Pentadbiran lama Universiti dan dipindahkan ke bangunan barunya pada tahun 1973 dan seterusnya mendapat bangunan tambahan pada tahun 1982. Keluasan Perpustakaan ialah 17,652 meter persegi dan boleh memuatkan lebih kurang 2,000 tempat duduk (tidak termasuk bilik-bilik karel, mesyuarat, perbincangan, auditorium dan sebagainya). Ruang rak boleh menampung 500,000 naskhah bahan.
Bersesuaian dengan peranannya sebagai gedung ilmu untuk mengasah minda masyarakat kampus, maka Perpustakaan telah dijadikan nukleus kompleks akademik Universiti. Kedudukannya yang dikelilingi oleh fakulti-fakulti adalah untuk memudahkan para pelajar dan pensyarah mengunjungi Perpustakaan. Bangunannya yang tersergam indah serta kemudahan yang serba lengkap memang menjadi tumpuan masyarakat kampus.
Perpustakaan mengutamakan pengguna dan selaras dengan kehendak ini, segala perkhidmatan yang ditawarkan adalah berorientasikan pengguna. Malah, untuk meningkatkan kepuasan pengguna dalam pencarian maklumat, berbagai-bagai kemudahan berasaskan teknologi komputer disediakan. Di antaranya ialah katalog berkomputer yang diperkenalkan pada tahun 1989. Perpustakaan akan terus berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatannya.
Sebarang pertanyaan mengenai Perpustakaan Sultan Abdul Samad boleh diajukan ke alamat berikut:
Ketua Pustakawan
Perpustakaan Sultan Abdul Samad
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor
Malaysia
Faks: 603-89487226/89483745
Emel: ahmi@lib.upm.edu.my
|