Oleh: Nur Azleen Hasan
Serdang, 4 Ogos - Mesyuarat Libraries of ASEAN University Network (AUNILO) ke-18, yang berlangsung dari 1 hingga 3 Ogos 2023 telah dihoskan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM). Mesyuarat ini mengumpulkan penyertaan dari pelbagai negara, termasuk Vietnam, Thailand, Singapura, Malaysia, Indonesia, Filipina, Kemboja dan Brunei. Secara keseluruhan, 30 orang wakil dari Perpustakaan Ahli AUNILO telah menghadiri mesyuarat ini, bersama dengan kehadiran tiga orang ahli dari Sekretariat Asean University Network (AUN). Pada tahun ini, tema "Co-Creating the Future of Libraries: Empowering Academic Librarians for Innovation and Impact" telah dipilih sebagai topik perbincangan.
Pada hari pertama program berlangsung, setiap perwakilan dari universiti ahli AUN telah menyampaikan laporan dari negara masing-masing. Berikut merupakan topik utama pelaporan dari setiap negara:
Hari kedua, penekanan diberikan kepada perkara berkaitan rangkaian di kalangan Ketua-ketua Pustakawan Perpustakaan Ahli AUNILO. Tumpuan utama adalah pada perbincangan untuk mewujudkan Rangkaian Perkongsian Sumber di kalangan Institusi Ahli AUNILO dan pelaksanaan Program Mobiliti Staf. Mesyuarat juga mengetengahkan agenda Pelan Strategi Baharu AUNILO bagi tempoh 2023-2026. Antara perkara utama yang dipaparkan di dalam Pelan Strategi Baharu tersebut adalah, impak teknologi digital dan AI; kelestarian; pendekatan pelbagai disiplin; dan penyediaan kemudahan bagi pemahaman yang lebih mendalam tentang isu-isu Asia Tenggara dalam kalangan pengguna perpustakaan terutamanya pelajar.
Selaras dengan tema mesyuarat, pengisian pada hari ke-3 merupakan modul pembangunan kapasiti yang melibatkan para pustakawan dari Perpustakaan Ahli AUNILO. Antara intipati perkongsian di dalam bengkel tersebut merangkumi topik mengenai kesan perubahan dalam sistem pembelajaran dan peranan perpustakaan; pendekatan berbeza bagi pemerkasaan pustakawan akademik; inisiatif inovatif dan amalan terbaik kepustakawanan; serta sesi bertukar idea serta pengalaman pustakawan dalam mendepani cabaran masa kini. Dr. Nor Edzan Che Nasir yang merupakan Setiausaha dan Ahli Jawatankuasa Bahagian Serantau IFLA Asia Oceania, telah dilantik sebagai pakar rujuk bengkel ini. Melalui bengkel ini, pustakawan telah berpeluang untuk melibatkan diri dengan pakar bidang, mengambil bahagian dalam perbincangan yang menggugah pemikiran, serta mengadaptasi hasil perbincangan agar dapat memberi kesan positif kepada perpustakaan dan komuniti mereka.
Mesyuarat AUNILO kali ke-18 ini secara keseluruhannya telah memberi peluang kepada perpustakaan akademik universiti ahli ASEAN untuk saling bekerjasama dan berinovasi. Seiring dengan perkembangan pendidikan tinggi, perpustakaan haruslah berdedikasi dalam memperkasa pustakawan dan memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan pengalaman pengguna. Pertemuan di dalam platform ini merupakan bukti komitmen berterusan pustakawan akademik dalam menerima perubahan, menggalakkan kerjasama, dan memajukan matlamat akademik institusi rantau Asean.
Ucapan pembukaan Mesyuarat AUNILO ke-18 oleh Encik Mahbob Yusof, Ketua Pustakawan UPM
Delegasi AUNILO yang terdiri daripada Ketua-ketua Pustakawan Perpustakaan Ahli AUNILO
Mesyuarat hibrid yang diadakan pada 2 Ogos 2023 di Dewan Senat, UPM dan secara atas talian
Peserta Bengkel AUNILO 2023 bersama Dr. Nor Edzan Che Nasir sebagai penceramah undangan
Tarikh Input: 18/09/2023 | Kemaskini: 18/09/2023 | j_mohdshahril
Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang, Selangor Darul Ehsan.